MALAYSIA
Tular rakaman kanak-kanak dibuli, ditendang di hadapan lif
JOHOR BAHRU: Tular di laman sosial Facebook satu rakaman membabitkan kes buli terhadap seorang kanak-kanak lelaki.
Ringkasan AI
- Rakaman CCTV tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki ditendang oleh sekumpulan empat kanak-kanak di hadapan lif Perumahan Molek Ria, Taman Molek pada 14 Julai, dipercayai mangsa sudah beberapa kali dibuli oleh kumpulan sama.
- Ibu mangsa telah membuat laporan polis dan Ketua Polis Daerah Seri Alam mengesahkan kejadian berlaku pada jam 2.03 petang, dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
- Polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
Tidak lama kemudian, mangsa didatangi sekumpulan empat kanak-kanak lain termasuk seorang daripadanya berpakaian sekolah agama dan salah seorang daripada mereka menendang perut mangsa sebelum kesemuanya melarikan diri.
Beberapa saat selepas itu, ibu mangsa keluar dari lif dan kelihatan mangsa dipercayai mengadu mengenai kejadian yang menimpanya.
Rakaman berkenaan turut memaparkan mesej daripada kumpulan sembang komuniti perumahan tersebut yang membincangkan insiden terbabit.
Menurut ibu mangsa, kejadian buli itu bukan pertama kali berlaku, malah anaknya dipercayai sudah beberapa kali menjadi sasaran kumpulan sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis daripada ibu mangsa berusia 33 tahun berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 2.03 petang Jumaat lalu di bawah blok kediaman berkenaan.
“Dimaklumkan anaknya ditendang di bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tinggal di kawasan perumahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes itu kerana boleh menimbulkan kegusaran masyarakat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami