MALAYSIA
Tumpuan kepada empat bidang utama kekalkan relevansi Ekonomi Biru ASEAN - Institut Maritim

Monaliza berkata memulihara hutan bakau bukan sekadar memulihara alam semula jadi malah juga mengukuhkan pertahanan pantai, melindungi pelabuhan, laluan perkapalan dan komuniti daripada hakisan serta cuaca melampau. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Blok ASEAN perlu menumpukan dan mengintegrasikan empat bidang utama untuk memastikan kesinambungan Ekonomi Biru ASEAN pada masa depan.
Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA) Monaliza Suhaimi berkata bidang utama itu adalah pemuliharaan dan pemulihan habitat bakau, peningkatan pengeluaran tenaga angin luar pesisir, penyahkarbonan sektor perkapalan antarabangsa dan pertambahan pengeluaran protein berasaskan laut yang diperoleh secara mampan.
Beliau berkata memulihara hutan bakau bukan sekadar memulihara alam semula jadi malah juga mengukuhkan pertahanan pantai, melindungi pelabuhan, laluan perkapalan dan komuniti daripada hakisan serta cuaca melampau.
"Selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, ia juga meningkatkan standard keterhubungan maritim yang mampan di peringkat global dan menambah bekalan protein berasaskan laut melalui perikanan dan akuakultur mampan."Usaha itu bukan sahaja melindungi malah juga mengurangkan tekanan terhadap ekosistem marin kita yang lemah," katanya ketika berucap merasmikan seminar 'Jointly Building a New Engine for China-ASEAN Blue Economy' di sini, semalam.
Beliau berkata gabungan automasi, penggunaan optimum dan Internet Pelbagai Benda dalam infrastruktur maritim boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon.
MIMA menjangkakan sektor pelancongan Malaysia berkembang antara 10 hingga 15 peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang susulan ketibaan pelancong dari China, katanya.
Beliau berkata ini memandangkan Malaysia memanfaatkan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di bawah inisiatif Lingkaran Ekonomi Pelancongan dan Budaya Marin China-ASEAN.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Industri Maritim MIMA Mazlinawati Abdul Majid berkata pertumbuhan itu dijangka menyumbang antara RM1.5 bilion hingga RM2.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Dari segi infrastruktur, pembangunan bersama pelabuhan, marina dan pusat peranginan dianggarkan bernilai sehingga RM1 bilion.
"Kesan limpahan industri daripada sektor hospitaliti dan rekreasi marin akan memberi manfaat kepada rangkaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang seterusnya akan mewujudkan antara 5,000 hingga 7,000 pekerjaan baharu dalam sektor hospitaliti, pengangkutan dan perkhidmatan budaya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan bertajuk 'Memanfaatkan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan untuk Membangunkan Lingkaran Ekonomi Pelancongan dan Budaya Marin China-ASEAN'.
Unjuran itu menyerlahkan satu manfaat utama daripada kerjasama tersebut iaitu penciptaan rangkaian pelayaran dan kapal layar bersepadu yang menghubungkan Hainan, China; Langkawi, Kedah; Kota Kinabalu, Sabah dan hab ASEAN yang lain, katanya.
Oleh itu, Mazlinawati berkata langkah memanfaatkan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan bukan hanya mengenai pelancongan malah juga berkenaan dengan membina perkongsian transformatif jangka masa panjang yang menarik pelancongan bernilai tinggi, merangsang pembangunan kawasan pesisir serta menjamin pelaburan strategik.
"Berasaskan inisiatif ini, Malaysia boleh meletakkan kedudukannya sebagai peneraju bersama dengan China untuk membentuk kerjasama maritim ASEAN-China bagi dekad seterusnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami