SHAH ALAM: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, mengatakan suaminya bersedia untuk berdepan dengan sebarang pertuduhan jenayah meskipun ia terpaksa dilakukan di hospital.

Na'imah berkata, Daim tidak menggunakan alasan sedang menjalani rawatan di wad hospital untuk mengelak daripada dibawa ke mahkamah.

"Ia tertakluk kepada kebenaran pihak hospital dan pasukan perubatan, Daim bersedia untuk menghadapi tuduhan politik ini di hospital itu sendiri.

"Kita serahkan semuanya kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Tan Sri Azam Baki untuk membuat keputusan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Na’imah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa mengikut Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM apabila tidak mengisytiharkan 12 aset harta Disember tahun lalu.

Beliau yang mengakui tidak terlibat dengan tuduhan tersebut akan membuktikan kes itu di mahkamah dan mendakwa pertuduhan dilemparkan adalah komplot dirancang untuk mencemarkan nama baik suaminya.

Sementara itu, Na'imah turut membidas dakwaan Azam bahawa SPRM telah memberitahu pasukan undang-undang Daim seminggu yang lalu bahawa beliau akan didakwa selain menafikan tuduhan prosedur tersebut tidak dapat dilakukan kerana suaminya dimasukkan ke hospital atas faktor kesihatan.

"Kenyataan Azam tidak benar, saya boleh mengesahkan bahawa saya sendiri dan penasihat undang-undang kami tak pernah dimaklumkan sama sekali bahawa Daim akan didakwa dengan sebarang kesalahan.

"Kami hanya diberitahu bahawa satu kenyataan akan direkodkan daripadanya (Daim). Cuma hari ini ketika membaca laporan berita, saya dapati Daim akan didakwa.

"Oleh itu, sindiran Azam bahawa Daim mengelak dengan alasan dimasukkan ke hospital adalah palsu dan nakal.

“Paling menyinggung perasaan adalah kenyataannya seakan-akan merendahkan profesionalisme doktor yang berdedikasi di hospital ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azam ketika ditemui media tempatan memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberi kelulusan lebih dari seminggu yang lalu untuk melanjutkan pertuduhan terhadap Daim di bawah Akta SPRM 2009.

Tambahnya, ketika pegawai penyiasat memberitahu peguam Daim bahawa beliau perlu hadir di mahkamah, pihak berkenaan menjelaskan beliau telah dimasukkan ke hospital swasta.

"Kami sudah semak dan Daim memang dimasukkan ke hospital sebelum kami menerima ‘lampu hijau’ itu, bagaimanapun sehingga ke hari ini tidak dapat dipastikan alasan kemasukannya ke hospital kerana doktor yang merawatnya tak dedahkan apa terjadi kepada Daim.

“SPRM boleh meminta hakim mahkamah hadir ke hospital tersebut bagi meneruskan pendakwaan, namun ia hanya boleh dilakukan sekiranya tiada pilihan lain atau keadaan memaksa untuk bertindak sedemikian,” ulas beliau lagi. -Sinar Harian