Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman disifatkan tidak faham keseluruhan isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga sanggup membidas surat terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad kepada editor harian Amerika Syarikat, The New York Times.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Anifah juga membuktikan dia tidak faham isu yang diperjuangkan bekas perdana menteri itu selama ini.

"Kenyataan Anifah yang menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap surat Dr Mahathir dalam The New York Times membuktikannya tidak faham sama sekali tentang isu semasa, khususnya skandal 1MDB.

"Inilah masalah dengan pemimpin tertinggi UMNO kerana enggan mengkaji serta memahami tentang permasalahan pokok skandal 1MDB yang dipersoalkan rakyat secara terbuka kini.

"Bagaimana Anifah boleh kata Dr Mahathir putar belit fakta 1MDB? Kalau dia yakin dan mempertahankan 1MDB sebagai sebuah syarikat kerajaan yang tiada masalah kerana kononnya aset bernilai RM51 bilion dan hutangnya hanya RM42 bilion, maka bagi saya Anifah tidak faham langsung persoalan yang sedang rakyat pertikai mengenai pentadbiran dana 1MDB itu," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Kenyataan Anifah yang menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap surat Dr Mahathir pada The New York Times membuktikannya tidak faham sama sekali isu semasa khususnya skandal 1MDB


BACA: Anifah bidas kecaman Tun Mahathir dalam surat kepada New York Times

Khairuddin mengulas kecaman Anifah terhadap surat terbuka Dr Mahathir kepada editor The New York Times.

Anifah dilaporkan kesal kerana melihat Dr Mahathir cuba untuk merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai sebahagian daripada dendam politik peribadi.

BACA: 1MDB: Tunjuk bukti, bukan selindung di sebalik alasan 'rahsia negara' - Tun M

Dalam pada itu, Khairuddin turut mengajak Anifah untuk berdebat dengannya mengenai isu 1MDB dan membuktikan pertikaian rakyat mengenai perkara itu palsu semata-mata.


"Anifah tidak harus membuat sebarang komen pada isu yang dia sendiri tidak faham.

"Rakyat kini berhadapan krisis keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi negara selain situasi politik negara yang mencabar.

"Rakyat boleh mendapat pelbagai matlumat melalui media sosial dari telefon pintar mereka. Sukar bagi mana-mana pihak untuk menyorokkan maklumat," katanya.

BACA: Siapa Chegubard cabar Dr. Mahathir debat?

Ujar Khairuddin, legasi kepimpinan Dr Mahathir selama ini telah membentuk sebuah negara yang cemerlang dan kecaman Anifah disifatkan hanya memburukkan keadaan.

"Anifah jangan menafikan realiti. Saya harap dia dapat turun ke akar umbi dan lihat sentimen persepsi mahupun penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang.

"Bila Dr Mahathir tanya ke mana pergi duit-duit 1MDB, jawablah secara ilmiah dan berfakta. Jawapan seharusnya komprehensif kepada keseluruhan rakyat agar pencerahan dapat dilakukan secara telus bagi pemahaman semua masyarakat," jelasnya.

BACA: 'Apa 'level' Chegubard ajak Tun M berdialog?' - Khairuddin

Sebelum ini Khairuddin meminta Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhenti menjadi oportunis dengan cubaan menjemput Dr Mahathir pada majlis #Nothing2Hide versinya sendiri.

Tegasnya, Chegubard dilihat bermimpi di siang hari selain kini 'menjilat' hinaan yang pernah diberi kepada bekas perdana menteri itu.