Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard diminta berhenti menjadi oportunis dengan cubaan menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis #Nothing2Hide versinya sendiri.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Chegubard dilihat bermimpi di siang hari selain kini 'menjilat' hinaan yang pernah diberi kepada bekas perdana menteri itu.

"Apa 'level' dia hendak ajak Dr Mahathir berdialog? Che Gu Bard ini sudah ditolak PKR dan kini sedang menjilat ludahnya sendiri serta cuba mempertahankan orang yang dia maki-hamun dengan pelbagai tuduhan sewaktu aktif dalam PKR dahulu.

"Susah hendak percaya orang macam Chegubard yang cepat menggadai prinsip serta mudah beralih pendirian ini. Dia cuba menyelamat diri demi survival kehidupan," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Chegubard yang mahu menjemput Dr Mahathir dalam program seumpama #Nothing2Hide versinya sendiri.

Selain itu Chegubard di dalam sebuah blog dikatakan kini kerap mengecam Dr Mahathir berkenaan pemecatan Tun Salleh Abas di siaran berita sebuah stesen televisyen kemunculannya dilihat mungkin lebih kerap lagi dalam isu-isu yang lain.

Khairuddin turut menjelaskan, sikap Chegubard membuktikan politik murahan untuk memastikan namanya tidak lenyap dari pentak politik negara.

"Saya cadangkan dia buat program dan bercerita kembali kenapa satu masa dahulu suka mengutuk UMNO.

"Perjelaskan kepada rakyat kenapa dahulu suka memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya serta pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

"Mengapa tiba-tiba dia beralih angin dan menyokong pihak tertentu di dalam UMNO serta menyerang Dr Mahathir? Apa motif tindakannya ini?" ujarnya.

Sementara itu, Khairuddin turut mencadangkan Chegubard menjemput Najib untuk hadir ke program #Nothing2Hide versinya.

"Dia ajak Najib, saya ajak Dr Mahathir. Kita siarkan secara terbuka dan biar seluruh rakyat menonton pertemuan penuh bersejarah itu," katanya.

BACA: 'Najib enggan jumpa Tun M, jumpa perwakilan boleh pula' - Khairuddin

Sebelum ini Khairuddin mahu Najib segera membuat pertemuan dengan Dr Mahathir sekali gus menyelesaikan kemelut negara terutama tentang isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, Najib juga diharap tidak menjadi jaguh dengan menyerang Dr Mahathir melalui forum tertutup bersama 1,500 ahli UMNO yang dijemput pada majlis penerangan khas sahaja.