Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan akan berkempen untuk calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar pada Jun nanti.

Perkara itu disahkan oleh bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu ceramah malam tadi.

Khairuddin berkata, Dr Mahathir sudah menyatakan persetujuan kepadanya untuk membantu Pakatan Harapan pada PRK kali ini.

"Tun M telah berikrar, telah bersetuju kepada saya untuk turun membantu kempen pada PRK kali ini. Ini janji Tun M kepada semua," katanya semasa berucap pada majlis mesra rakyat bersama pemimpin Amanah di Sekinchan, Selangor pada malam Ahad.

Penerangan Khairuddin menjawab persoalan Dr Mahathir yang sebelum ini dikatakan akan membantu Pakatan Harapan dalam kempen mereka di Sungai Besar.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam satu ucapan secara terbuka meminta pembangkang agar bersatu untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam dua PRK akan datang.

Pemimpin-pemimpin UMNO kemudian membidas kenyataan bekas perdana menteri itu yang dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada parti dan gabungan mereka.

Ia termasuk kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyifatkan Dr Mahathir mahu membunuh BN apabila meminta parti pemerintah itu ditewaskan dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Tengku Adnan berkata, Dr Mahathir sebelum ini cuba menjatuhkan Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak namun sekarang niatnya mahu menjatuhkan BN.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dimenangi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, diisytiharkan kosong berikutan kematian ahli Parlimen mereka dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

PRK di kedua-dua kawasan itu bakal diadakan pada 18 Jun depan.