LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Proses vaksiniasi terhadap pasangan berkenaan dibuat Penyelia Jururawat Klinik Kesihatan Kuah, Rosmini Che Lah dan Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Kuah, Siti Hamizah Masdar.

Menurut Dr Mahathir yang berusia 95 tahun, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Hari ini saya sudah disuntik dengan vaksin COVID-19, tak berasa apa pun, sekejap sangat, cuma nak jawab soalan itu yang ambil masa, nak cucuk (vaksin) tak sampai satu minit.

“Saya tidak berasa apa pun… pening ka apa ka, selepas itu kita (pemeriksaan) tengok blood pressure (tekanan darah). Saya harap semua rakyat Malaysia terima disuntik vaksin ini, kerana kita perlu lawan dengan wabak COVID-19,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima suntikan vaksin COVDI-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Langkawi, di sini pada Ahad.



Dalam masa, Dr Mahathir turut menyeru kepada rakyat Malaysia agar segera mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya dapat mempercepatkan proses pemberian mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan.

Beliau juga menasihati rakyat Malaysia untuk tidak meragui keberkesanan vaksin terhadap keselamatan dan kesihatan mereka kerana ia sudah disahkan selamat dan berkesan untuk digunakan.

"Saya dengar ada orang yang kurang yakin, yang percaya bahawa suntikan ini mungkin akan menyebabkan lain-lain penyakit.

"Ini tidak benar sama sekali, kalau ada kesan buruk daripada suntikan, di Amerika sahaja kita tak dengar cerita ada orang yang hadapi masalah setelah disuntik, nak pengsan ka apa-apa termasuk golongam yang tua, mereka juga boleh disuntik dalam keadaan selesa,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail memaklumkan, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah telah melaksanakan pemeriksaan kesihatan daripada doktor peribadi masing-masing sebelum proses suntikan berkenaan dibuat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilaksanakan, kedua-dua individu berkenaan didapati berada dalam keadaan sihat dan baik selain layak menerima suntikan vaksin COVID-19.