Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada pada November ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak terlibat dalam mana-mana gerakan atau kumpulan yang kini didakwa dalam usaha menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengganti beliau menerajui negara.

Dalam masa sama, Dr Mahathir mengakui, kenyataan yang dibuat Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) dalam pertemuan dengan beliau di Putrajaya pada Khamis adalah benar.

"Dia (Anwar) jumpa dengan saya. Dan apa dia buat kenyataan itu betul lah. Saya tak kata apa.

"Saya tak terlibat dengan sebarang kegiatan lain. Saya janji saya akan letak jawatan selepas APEC dan pegang pada janji saya... (saya) tak terlibat dengan perkara lain.

"Saya janji akan letak jawatan selepas APEC. Itu saya pegang kepada janji saya. Tak terlibat dengan yang lain... cuma janji letak jawatan akan letak jawatan..." kata Dr Mahathir.

BACA: Tun M tidak terlibat dalam akuan berkanun, janji serah jawatan - Anwar Ibrahim



Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyempurnakan majllis pecah tanah Villa Sirehan dan lawatan ke tapak projek Rebungan Resort di Bukit Gaong, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar yang mengadakan pertemuan empat mata dengan Dr Mahathir di Putrajaya.

Perbincangan mengenai peralihan kuasa menjadi tumpuan pertemuan Anwar dengan Dr Mahathir selain dakwaan kononnya terdapat laporan yang menyebut ada usaha daripada PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan (akuan berkanun - SD) menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.