KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kadar vaksinasi negara perlu ditingkatkan sehingga 800,000 dos sehari.

Menurutnya, beliau berpendapat sedemikian kerana terlalu ramai rakyat Malaysia sudah dijangkiti berada di sekeliling masyarakat dan mereka tidak dapat dikuarantin dengan berkesan.

Jelasnya, mereka yang disahkan positif terpaksa berada di rumah dan bersama dengan orang yang belum dijangkiti.

Bahkan, ada dalam kalangan mereka juga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

“Saya ucap tahniah kerana usaha kerajaan tingkatkan jumlah suntikan vaksin. 500,000 sehari boleh kurangkan kes baharu.

“Tetapi saya berpendapat jumlah perlu dinaikkan lagi kepada 800,000 sehari kerana peningkatan kes baharu disebabkan terlalu ramai dari yang sudah dijangkiti berada d isekeliling kita yang tidak dapat dikuarantin dengan berkesan.

“Mereka terpaksa ada di rumah di mana ada yang belum dijangkiti. Mereka juga tidak patuh kepada SOP sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 baru-baru ini berkata, kadar vaksinasi harian per kapita di Malaysia antara terpantas di seluruh dunia.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada statistik dikeluarkan laman web Our World in Data dikendalikan oleh Universiti Oxford.

Tambah Khairy, peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos juga pada Rabu lalu telah mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Untuk rekod, sebanyak 60.9 peratus populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19, setakat Ahad.

Menurut data dikongsikan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian dos kedua bagi populasi dewasa pula menghampiri 30 peratus iaitu 29.7 peratus.

Ini menjadikan jumlah kumulatif suntikan dos vaksin COVID-19 di negara ini melepasi 21,200,473 dos keseluruhan.

Daripada keseluruhan suntikan vaksin, sebanyak 14,247,659 adalah bagi dos pertama manakala 6,952, 814 bagi dos kedua melibatkan populasi dewasa.