Skip to main content

Malaysia

Tunai haji seorang diri, remaja 18 tahun jadi jemaah termuda tahun ini

Sumber: Astro AWANI
Simpanan untuk menunaikan haji dibuat secara berperingkat sejak kecil termasuk melalui duit raya dan wang poket serta sokongan ibu bapanya. - Astro AWANI

MEKAH: Pada usia 18 tahun ketika kebanyakan remaja masih bergantung kepada keluarga, namun seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuktikan keberanian dan didikan awal mampu membawanya menunaikan ibadah haji seorang diri.

Namun berbekalkan didikan dan persediaan sejak kecil, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman akhirnya menjejakan kaki ke Tanah Suci untuk melaksanakan Rukun Islam kelima.

Advertisement

Menurut Eusoff, dia berpeluang ke Tanah Suci pada usia muda hasil inisiatif ibunya yang mendaftarkan dengan simpanan Tabung Haji sejak kecil lagi.

Katanya, simpanan untuk menunaikan haji dibuat secara berperingkat sejak kecil termasuk melalui duit raya dan wang poket serta sokongan ibu bapanya.

“Mak saya daftarkan saya seawal tahun 2008, sejak saya masih bayi. Alhamdulillah tahun ini nama saya dipilih dan saya datang seorang diri.

“Saya simpan sedikit demi sedikit, tapi mak banyak bantu. Ini semua hasil usaha mak dari awal lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas pengalaman ke Tanah Suci, Eusoff berkata, walaupun kali pertama ke luar negara tanpa keluarga, pengalaman tinggal di asrama sebelum ini membantunya menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.

“Saya tidak terlalu gementar, cuma ini pengalaman baharu sebab pertama kali berjauhan dengan keluarga di luar negara,” katanya.

Eusoff yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, hubungan baik dengan rakan sebilik yang jauh lebih berusia turut banyak membantu sepanjang berada di Tanah Suci.

“Walaupun umur berbeza sekitar 50 tahun, kami boleh berbual dan saya ambil peluang belajar daripada pengalaman mereka. Saya anggap mereka seperti bapa sendiri,” katanya.

Tambahnya, pesanan ibu bapa sentiasa menjadi pegangan utama sepanjang berada di Mekah, terutama dalam menjaga ibadah dan keselamatan diri.

Dalam pada itu, pelajar yang meraih keputusan SPM 7A tersebut meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada kedua ibu bapanya yang banyak berkorban demi memastikan beliau dapat menunaikan haji pada usia muda.

“Terima kasih mak dan ayah kerana bantu saya sampai ke sini. Saya harap dapat balas jasa mereka suatu hari nanti,” ujarnya.

Eusoff turut menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak untuk haji sejak kecil bagi memberi peluang menunaikan ibadah itu lebih awal.

“Saya galakkan ibu bapa buka akaun Tabung Haji untuk anak-anak dari kecil supaya peluang ke Tanah Suci lebih cepat,” katanya.

 

 

Must Watch Video