PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Jun ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mereka dalam kes tunggakan cukai pendapatan.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Suhaila Haron menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

"Pendengaran rayuan itu akan berlangsung secara dalam talian," katanya dan memaklumkan prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus.

Bekas perdana menteri dan anaknya itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib manakala RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Pada 9 Sept 2021, Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun pada 10 Mei tahun lepas mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA