Kerajaan Malaysia kekal dengan keputusan untuk tidak membuka sempadan kepada enam negara laluan hijau tanpa sekatan sehingga ada keputusan timbal balas dengan negara terlibat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, bagaimanapun keputusan itu akan ditentukan dalam masa terdekat tetapi, bergantung kepada keadaan semasa dan pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar.

"Walaupun kita dan KKM telah kenal pasti enam negara ini, tetapi perbincangan masih lagi diteruskan.

"Jika kita buka negara kita, mereka juga kena buka, jika kita longgar mereka pun mesti longgar dan kalau mereka masih ketatkan rakyat kita, kita juga tidak akan benarkan rakyat mereka datang.

"Jadi perkara ini masih dibincangkan dengan Kementerian Luar, namun bergantung kepada nasihat KKM. Ini kerana, dahulu ada negara sudah anggap hijau tetapi sekarang kembali merah," katanya dalam sidang media sempena Majlis Ramah Mesra meraikan 424 petugas barisan hadapan COVID-19 di sini pada Ahad.

Enam negara yang diiktiraf 'green bubble' adalah Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Korea dan Jepun.

Ismail Sabri berkata, keputusan tidak membuka sempadan kepada warga asing sama ada ingin bekerja atau melancong ke Malaysia juga kekal kecuali empat kategori melibatkan kedutaan, tenaga kepakaran asing, peserta Malaysia Rumah Keduaku, dan pelajar Malaysia di luar negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, statistik rakyat Malaysia dan pelajar Malaysia yang masih terkandas di luar negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperincikan kelak.