KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bertindak memukul kepala seorang pemandu wanita, yang tular dalam satu video dalam media sosial pada Selasa, telah ditahan pihak berkuasa.

Difahamkan lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini untuk tindakan lanjut.

Satu kenyataan media dijangka dikeluarkan Polis Perak dalam masa terdekat berhubung penahanan suspek.

Sebelum ini, tular sebuah video lelaki berkenaan yang menaiki Proton Persona bertindak menghentikan kenderaannya di hadapan kenderaan mangsa.

Suspek kemudian bertindak mengetuk cermin pemandu sebelum mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak memukul kepala mangsa.

Video berdurasi 59 saat yang dikongsi di media sosial itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata tidak berpuas hati tindakan lelaki terbabit.