KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menegaskan beliau tiada pengetahuan tentang sebarang transaksi antara suami beliau, Datuk Tawfiq Ayman dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahkamah diberitahu hari ini.

Sewaktu prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Zeti sebaliknya menegaskan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak yang perlu membuktikan kononnya Tawfiq atau mana-mana ahli keluarga Zeti menerima wang 1MDB melalui Cutting Edge Industries Ltd.

Sewaktu sesi yang agak panas itu, Muhammad Shafee dilihat memberi soalan bersifat provokatif sehingga menimbulkan suasana tegang, sehingga menyebabkan Hakim Bicara Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa masuk campur untuk menenangkan keadaan.

Muhammad Shafee terdahulu mengemukakan kepada mahkamah tentang akuan bersumpah (SD) Tawfiq Ayman yang menyatakan bahawa beliau (Tawfiq) melucutkan haknya terhadap sejumlah wang dalam syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang perlu dipulangkan semula kepada 1MDB.

Muhammad Shafee: Takkan suami atau anak tidak pernah memberitahu mengenai wang...

Zeti: Tunjukkan saya buktinya. Tunjukkan kepada saya aliran keluar wang 1MDB dalam syarikat itu

Muhammad Shafee: Bila anda berkata  ahli keluarga tidak pernah menerima wang 1MDB, awak sebenarnya membuat kenyataan tanpa mengetahui mengenai SD ini?

Zeti: Ini kali pertama saya melihat SD ini. Ia tidak menyatakan suami saya menerima wang (1MDB) tetapi berkaitan wang yang dipulangkan kepada pihak berkuasa.

Zeti berkata, suaminya hanya memaklumkan tentang laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa di Singapura mengenai transaksi meragukan mengenai sejumlah wang yang didepositkan ke akaun syarikat tersebut oleh satu pelabur.

Tambahnya lagi, Tawfiq juga telah menulis surat kepada sebuah institusi kewangan Singapura berhubung transaksi tersebut, dan meminta agar ia dipulangkan kembali kepada pihak tersebut.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar, Zeti berkata Najib tidak pernah bertanya tentang sumber kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam empat akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri itu.

Selain itu Zeti berkata, pihak Ambank juga gagal memaklumkan beberapa transaksi dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.