JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mahu melihat pendidikan anak Bangsa Johor dipertingkat dan tiada keciciran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor yang baharu Aznan Tamin.

Beliau berkata perkara itu dititahkan baginda kepadanya pada Istiadat Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

"Ini tanggungjawab besar dan saya rasa terharu kerana diberi ruang dan peluang sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor," katanya kepada pemberita selepas Majlis Countdown Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 'SUKMA 2024: The Next Chapter' di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di sini hari ini.

Aznan, 40, berkata dalam masa seminggu ini, beliau akan meneliti agensi berkaitan portfolionya dan perancangan yang telah dibuat.

"Saya juga akan meneruskan apa (inisiatif) baik yang telah dilakukan sebelum ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan sehabis baik," katanya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan hari ini mengumumkan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bagi 2024-2027, dengan Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat adalah muka baharu barisan pentadbiran negeri itu.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Pasir Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata meskipun portfolio komunikasi adalah bidang baharu buat dirinya, beliau akan memberikan komitmen terhadap amanah itu.

Menerusi penstrukturan semula itu, Mohamad Fazli diberikan tambahan portfolio Komunikasi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor.

ADUN Yong Peng Ling Tian Soon yang bertukar portfolio daripada Kesihatan dan Perpaduan Negeri kepada Kesihatan dan Alam Sekitar pula berkata beliau akan memandang serius isu pencemaran khususnya sungai di Johor.

"Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan supaya isu-isu pencemaran di Johor boleh dikurangkan dan dapat mempertingkatkan kualiti air di sungai yang telah tercemar," katanya.

-- BERNAMA