KUALA TERENGGANU: Tuntutan bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Ahmad Samsuri terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

"Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

"Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak," katanya selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

-- BERNAMA