Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Datuk berhubung siasatan tuntutan palsu projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Seorang lagi yang ditahan merupakan seorang pengarah syarikat pembekal.

Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 62 dan 56 tahun, ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 5 petang dan 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman tiga hari bermula hari ini sehingga 21 September selepas Penolong Pendaftar Mahkamah Siti Roslizawati Mohd Zanin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sumber berkata, tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 jalan negeri di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan.

Difahamkan, kesemua projek berkenaan bernilai kira-kira RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai 'Projek Jiwa Murni' di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Daerah serta kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga.

Sebelum ini, dua pengarah syarikat yang bergelar 'Datuk' turut ditahan SPRM berhubung kes sama.