KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bercadang untuk membawa kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan mereka terhadap bangunan kedutaan Malaysia di Paris, Perancis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Pengerusi Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan hari ini turut menjelaskan, insiden kehadiran bailif pada 6 Mac lalu bukan untuk membuat rampasan bangunan Kedutaan Malaysia dan kediaman kakitangan itu.

BACA: Azalina beri amaran, pihak dakwa pewaris Kesultanan Sulu sasar tuntut GLC negara

"Pada pagi 6 Mac 2023, individu yang mengakui sebagai bailif... memohon akses kepada premis (Kedutaan Malaysia dan kediaman kakitangan) tersebut untuk tujuan survei, atas alasan mendapatkan perincian hartanah berkenaan.

"Kakitangan diplomatik di kedua-dua premis memaklumkan bailif tersebut, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian. Kemudian, bailif berkenaan meninggalkan premis yang dinyatakan. Ini bukan cubaan merampas hartanah (negara)," menurut  kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Khas Sulu, hari ini yang dikongsikan Azalina menerusi Twitter rasminya.

Berdasarkan kepada taklimat guaman yang diberikan kepada pihak Kerajaan Malaysia, bailif berkenaan telah diarahkan oleh Kumpulan Sulu untuk mendapatkan perincian bangunan milik Malaysia itu. Alasan diberikan bagi survei itu adalah bagi memenuhi prosedur Gadai Janji Berkanun yang didaftarkan pada 3 November 2022, dengan Perintah Kebenaran sebelah pihak daripada Mahkamah Perancis.

Bailif tersebut mendakwa mereka menjalankan tugas berdasarkan kepada Keputusan Separa yang diputuskan mahkamah bertarikh 29 September 2021. Walau bagaimanapun, keputusan itu telah dicabar oleh Malaysia dalam pelbagai prosiding di Perancis dan kawasan bidang kuasa mahkamah yang lain.

"Ke hadapan, Malaysia berhasrat menggesa Kumpulan Sulu ini untuk tampil dalam mahkamah yang memberikan perintah kebenaran tersebut untuk mendapatkan pembatalan pendaftaran Gadai Janji itu. Gadai Janji Berkanun bukan langkah yang ada kesan penguatkuasaan sepenuhnya.

"Malaysia kekal dengan pendirian bahawa setiap misi diplomatik tidak boleh dicabul dan kebal daripada sebarang carian, pengambilan, atau penahanan dibawah Konvensyen Vienna berkenaan Hubungan Diplomatik.

"Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf arbitrasi komersial yang dimulakan oleh oleh penuntut Sulu dan akan terus mempertahan kedaulatan negara menerusi forum perundangan sewajarnya," jelas kenyataan itu lagi.


Sekretariat Khas Sulu itu sebelum ini diwujudkan sebagai pusat tumpuan utama untuk menangani isu tuntutan kumpulan Sulu dalam memastikan perbincangan dan penyelarasan yang lebih teratur, sistematik dan melibatkan semua pihak.