PARIS: Tuntutan Waris Sultan Sulu terhadap Sabah merupakan satu penyalahgunaan sistem undang-undang antarabangsa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sudahpun merangka beberapa langkah untuk mengetepikan tuntutan tersebut serta semua tuntutan akan datang.

Pada 2016, waris Sultan Sulu itu memulakan proses timbang tara di Madrid, Sepanyol untuk menuntut ganti rugi selepas mendakwa kerajaan Malaysia gagal melunaskan pembayaran mengikut perjanjian yang ditandatangani antara Sultan Sulu dan Kerajaan Britain pada 1878.

Proses tersebut dikendalikan oleh penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, tanpa penglibatan atau persetujuan Malaysia.

Stampa kemudian membuat keputusan yang memihak kepada waris Sultan Sulu pada 2020, sekali gus memerintahkan Malaysia membayar ganti rugi hampir AS$15 bilion.

Bagaimanapun pada 2021, Mahkamah Tinggi Madrid membatalkan pelantikan Stampa serta keputusannya.

“Saya faham kalau dia buat keputusan timbang tara di Madrid, kita bantah. Kemudian dia tak puas hati dan dia bantah di Madrid. Ini tidak, dia lari ke Paris.

“Selepas Paris ini, ke merata tempat lagi mereka nak lari. Jadi nampak sangat macam ada yang tak kena,” katanya.

Tambahnya, ini membuktikan Malaysia harus bertindak lebih bijak bagi mengelakkan pihak tersebut terus menyalahgunakan undang-undang antarabangsa bergerak ke hadapan.

“Membela (Malaysia) terhadap tuntutan mereka di Eropah, itu memang kita sedang laksanakan.

“Tapi langkah seterusnya kita memang kena lagi bijaklah, melihat kepada ada gerakan yang tidak ikut undang-undang ini.

“Mereka mungkin nak ambil kesempatan kerana anggap ada ketidakstabilan politik, mungkin juga sebab mereka rasa Malaysia ini boleh digertak,” katanya.

Azalina berkata, terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan pemilikan Malaysia terhadap Sabah adalah sah sejak 1963.

Ini termasuk keputusan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 yang menyaksikan penduduk negeri itu memilih untuk menyertai Malaysia secara referendum.

“Jadi ada banyak benda yang kita perlu persoal, bukan saja dari segi proses dan keputusan timbang tara, tapi juga penimbang tara tersebut.

“Banyak kesalahan demi kesalahan mereka telah lakukan, itu sebab kita kena buat gerakan untuk menoktahkan mereka ini, we have to go after them on all avenues,” kata dalam temu bual ekslusif bersama Astro AWANI dari Paris.

Ahli Parlimen Pengerang itu berada di sana bagi menghadiri mesyuarat bersama peguam dari beberapa negara untuk mengendalikan kes tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan strategi perundangan Malaysia dalam kes itu pada ketika ini.