KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menyiasat kesahihan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu bagi mematahkan tuntutan daripada kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia antara usaha yang dijalankan oleh pasukan penyiasat Sekretariat Khas Sulu yang diketuai Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelas beliau, pasukan berkenaan telah mengunjungi arkib-arkib dan kawasan yang berkaitan seperti di London dan Filipina.

"Soalnya sekarang yang penting sekali ialah mereka yang menyebut dirinya sebagai 'penuntut', adakah itu benar-benar penuntut atau tidak, atau mereka benar-benar waris (Sulu)?

"Ini yang kita perbahaskan dan telah pun membuat proses perundangan untuk mencabar kesahihan itu.

"Saya ingin sebutkan di sini dalam usaha yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau turut menemukan beberapa keluarga yang turut mengaku kesultanan itu," katanya pada sesi penggulungan kementerian di Dewan Rakyat pada Khamis.

"Perjanjian 1878" merujuk kepada perjanjian yang didakwa membenarkan Sultan Sulu ketika itu, Sultan Jamal Al Alam, untuk menyerahkan Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara) kepada Syarikat Dent & Overbeck.

Perjanjian itu dilaporkan ditandatangani oleh Sultan Sulu dan saudagar kelahiran Jerman, Baron Von Overbeck, yang ketika itu merupakan 'Maharaja' Borneo Utara dan mempunyai peranan dalam syarikat itu.

Seorang lagi penandatangan ialah ahli perniagaan British Alfred Dent, yang bersama abangnya Edward Dent bertindak sebagai pembiaya untuk syarikat usaha sama itu.

Berikutan perjanjian itu, syarikat itu memperoleh hak wilayah ke atas Borneo Utara dan hak terhadap sumber mineralnya.

Sebagai balasan, syarikat usaha sama itu akan membayar wang penyerahan tahunan sebanyak AS$1,000 kepada Sultan Sulu.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta kementerian meneliti kesahihan perjanjian Sulu, selain mendapatkan pandangan-pandangan daripada penduduk di Sabah berhubung perjanjian berkenaan.

Menjawab lanjut, Zambry berkata penemuan Azalina bersama individu yang mengaku waris Kesultanan Sulu juga didapati tidak benar, dan proses mahkamah untuk mencabar kesahihan itu sedang dilakukan.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan kerajaan menegaskan tuntutan daripada kumpulan terbabit dianggap sebagai satu tindakan luar batasan, keterlaluan serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Malaysia juga, tambah beliau mengulangi pendirian tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan dan tindakan tidak beretika, serta komited untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

"Bagi memastikan tindakan yang menyeluruh, Kementerian Luar Negeri telah mengambil pendekatan diplomatik untuk melengkapkan langkah-langkah perundangan yang diterajui Azalina dan pihak Peguam Negara.

"Secara umumnya ini merangkumi sesi libat urus proaktif antara ketua-ketua perwakilan diplomatik Malasyia di luar negara bersama rakan-rakan sejawat mereka.

"Ini bagi menyatakan pendirian dan bantahan Kerajaan Malaysia secara konsisten terhadap tuntutan tersebut kepada pihak-pihak berkaitan," katanya lagi.