TONGOD: Alasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Daerah Tongod menutup operasi mesin pam air selama lebih satu minggu kerana kekurangan peruntukan membeli diesel disifatkan tidak matang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, alasan bersifat sambil lewa itu juga telah menyukarkan penduduk terutama ketika berhadapan situasi kecemasan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, merujuk langkah JANS Daerah Tongod yang menutup operasi bekalan air telah menyebabkan 18 kampung di Mukim Tongod dan Penangah terjejas.

"Sikap sambil lewa JANS Tongod dengan memberi alasan kurang matang hingga menyebabkan lebih 10,000 penduduk terjejas di pekan Tongod dan Penangah dan ia amat dikesali.

"Saya dihujani panggilan telefon dan hantaran WhatsApp daripada penduduk terlibat.

"Mungkin Jabatan Air Daerah tidak mengemukakan bajet kecemasan tahunan yang cukup kepada ibu pejabat," katanya selepas melawat asrama lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod yang terlibat dalam kebakaran di sini pada Selasa.

Katanya lagi, akibat tindakan JANS Daerah Tongod itu turut menyukarkan operasi memadam kebakaran yang berlaku di asrama sekolah berkenaan pada 17 Julai lalu.

Sehubungan itu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mahu semua ketua jabatan di daerah itu peka dengan tugas masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang dan menyukarkan semua pihak.

Disyorkan artikel ini:
Penduduk Pulau Pinang panik beli air minuman botol
Sembilan lokasi di Pulau Pinang masih alami gangguan bekalan air
Banjir: Tiada bekalan air, penduduk sukar bersihkan rumah
Air Selangor kecewa masalah air
30 tahun dihimpit masalah bekalan air
Katanya, elemen tadbir urus kurang cekap di kalangan ketua jabatan tidak harus berulang jika tidak mahu kelemahan mereka dirujuk ke peringkat tertinggi.

"Sebarang tindakan sambil lewa melibatkan ketua jabatan di peringkat daerah tidak harus dipandang ringan.

"Janganlah sampai timbul masalah baru nak bertindak sehingga menimbulkan perkara negatif kepada penduduk setempat," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada 17 Julai lalu melaporkan bilik suit elektrik yang terletak dalam asrama lelaki SMK Tongod terbakar dalam kejadian itu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/213244/EDISI/Tutup-bekalan-air-lebih-seminggu-lebih-10000-penduduk-terjejas
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf