Bali akan periksa baki akaun simpanan pelancong asing dalam usaha promosi pelancongan berkualiti

Pihak berkuasa Indonesia di Pulau Bali merancang untuk memperketat pemeriksaan terhadap pelancong asing bermula 2026, termasuk penilaian keupayaan kewangan, tempoh penginapan dan aktiviti yang dirancang. - Gambar hiasan Reuters
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia di Pulau Bali merancang untuk memperketat pemeriksaan terhadap pelancong asing bermula 2026, termasuk penilaian keupayaan kewangan, tempoh penginapan dan aktiviti yang dirancang, lapor Xinhua.
Gabenor Bali, I Wayan Koster memberitahu media tempatan pada Jumaat, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan pelancongan berkualiti.
Beliau berkata, tadbir urus pelancongan Bali akan beralih fokus daripada kuantiti kepada kualiti, selaras dengan peraturan wilayah yang bertujuan memastikan pembangunan pelancongan yang lebih mampan dan teratur.
Bagi menilai keupayaan kewangan pelawat, beliau berkata, pihak berkuasa akan memeriksa baki akaun simpanan pelancong asing bagi tempoh tiga bulan ke baki terbaharu.
"Satu aspek pelancongan berkualiti yang perlu dipertimbangkan ialah jumlah wang dalam akaun simpanan anda sepanjang tiga bulan lepas," kata Koster.
Selain pemeriksaan kewangan, Koster berkata, pelancong asing yang memasuki Bali juga dikehendaki memberikan maklumat mengenai tempoh penginapan dan aktiviti yang mereka rancang untuk dilakukan sepanjang lawatan mereka.
Menurut gabenor itu, Bali merekodkan 7.05 juta ketibaan pelancong asing melalui udara dan 71,000 lagi melalui laut pada 2025.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


