SHAH ALAM: Pusat kompetensi kenderaan elektrik (EV) dan solar yang dibangunkan di Shah Alam dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkasa pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tenaga boleh baharu di Selangor, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, pusat kompetensi itu merupakan yang pertama di negara ini, yang diakreditasi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Sustainable Energy Development Authority (SEDA).
Advertisement
Beliau memberitahu, inisiatif Pusat latihan kenderaan elektrik (EV), Autotronics Centre of Excellence (Autotronics) itu bukan sahaja dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh agenda Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hijau negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi hijau.
Kata beliau, penubuhan pusat berkenaan adalah selari dengan komitmen Selangor dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara dan memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
"Inisiatif ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk meningkatkan taraf hidup melalui kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
"Di sebalik angka ini, ia sebenarnya mewakili peluang kedua buat anak-anak muda untuk membina masa depan yang lebih baik melalui pendidikan dan kemahiran.
"Autotronics memainkan peranan penting dalam memastikan transisi tenaga negara tidak hanya bergantung kepada teknologi, tetapi disokong tenaga kerja tempatan yang mahir dan bertauliah.
"Kita boleh membawa masuk teknologi canggih, namun tanpa tenaga kerja yang berkeupayaan untuk mengendalikan, menyenggara dan membaikinya, pelaburan itu tidak akan memberi impak maksimum," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Kompetensi EV dan Sistem Solar Autotronics, di sini, pada Isnin.
Pada majlis itu, Yayasan Mahir Malaysia menyampaikan sumbangan biasiswa berjumlah RM100,000 bagi menaja pelatih daripada golongan B40 dan M40 untuk mengikuti program latihan dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar.
Selain itu, Amirudin turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pelajar yang layak bagi menyertai program berkenaan.
Dalam pada itu Amirudin berkata, Selangor komited untuk terus memacu pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu dan penggunaan kenderaan elektrik, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Selangor berhasrat menjadi hab serantau bagi teknologi bersih dan industri masa depan. Justeru, pembangunan TVET hijau seperti ini adalah antara keutamaan utama kerajaan negeri," tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, kejayaan Autotronics turut didorong oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, khususnya dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Ini adalah model kerjasama yang perlu diperluaskan, di mana sektor swasta bukan sahaja menjadi pemain industri, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan bakat dan kemahiran negara," katanya.
Autotronics yang beroperasi di Subang 2, Shah Alam, dilengkapi fasiliti moden termasuk makmal kenderaan elektrik dan hibrid, makmal sistem solar fotovoltaik (PV) serta kemudahan diagnostik bateri EV yang menepati piawaian industri.
Sehingga kini, pusat berkenaan melahirkan lebih 1,000 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang EV serta lebih 1,500 juruteknik bertauliah di bawah Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom.