KUALA LUMPUR:Penubuhan TVS yang merupakan stesen televisyen pertama Sarawak berupaya mengangkat negeri ini ke pentas dunia sekali gus memacu sektor pelancongan.

Malah penubuhan itu kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi pencerahan penglibatan pendigitalan menerusi industri media membawa potensi besar buat Sarawak.

"Industri media mampu meningkat naik dalam ekonomi digital jika menyediakan kandungan luar biasa, strategi serta tawaran menarik yang jelas buat pelanggan.

"Saya yakin TVS akan boleh bersaing dengan stesen televisyen yang lain. Ini kerana TVS bukan hanya menjurus kepada hal-hal tempatan tetapi merancang untuk menjadi pemain di rantau ini sekali gus ke peringkat dunia," katanya.

Tambah Abang Johari, penubuhan TVS dilihat sebagai sebuah platform yang akan mengalakkan integrasi nasional merentas pelbagai bangsa dan budaya.

Menurutnya, TVS mempunyai peluang cerah untuk bersinar dalam industri penyiaran.

“Dengan strategi dan cara pemasaran yang betul, saya pasti TVS akan menonjol dalam industri penyiaran negara,” jelasnya semasa berucap dalam majlis pelancaran rasmi TVS.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, penggiat industri kreatif perlu melabur untuk mendapatkan ilmu-ilmu baharu khasnya yang berkaitan dengan perkembangan teknologi.

“Saya menyeru kepada anak-anak Sarawak untuk mendapatkan tempat dan peluang bersama TVS. Saya pasti ada pelbagai peluang menanti anak Sarawak khasnya untuk bersinar cemerlang dalam penghasilan kandungan.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, TVS akan diperluaskan untuk siaran percuma di bawah platform stesen penyiaran lain.

Buat masa ini kata beliau, TVS masih dalam fasa percubaan bersama Astro untuk memastikan kestabilan teknikal serta hasil kerjanya mencapai standard industri penyiaran.