INGIN miliki ‘lencana biru’ atau pengesahan status Verified Account (VA) pada akaun Twitter anda?

Kini sesiapa sahaja boleh memohon status VA secara atas talian.

VA di Twitter merupakan akaun yang biasanya dimiliki oleh individu dan organisasi penting dan ditandakan dengan lencana biru pada platform media sosial tersebut.

Akaun ini disahkan asli oleh Twitter bagi membolehkan akaun ini beroperasi dan dipercayai oleh para pengguna media sosial dalam pelbagai bidang misalnya kerajaan, muzik, televisyen, filem, kewartawanan, media, dan perniagaan.

Di Malaysia misalnya, akaun @501Awani (Astro AWANI), @NajibRazak (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak), dan @flizzow (rapper dan penerbit muzik Joe Flizzow) disahkan sebagai VA.

@501Awani antara akaun Twitter di Malaysia yang mempunyai lencana biru Verified Account

@NajibRazak merupakan antara akaun Twitter di Malaysia yang mempunyai lencana biru Verified Account.

Cara permohonan


Pengguna perlu mengisi borang atas talian bagi memohon status VA.

Dalam borang tersebut, pengguna perlu menyertakan beberapa pautan yang dapat membantu Twitter mengesahkan identiti pengguna, misalnya pautan ke akaun media sosial lain, blog peribadi, dan sebagainya.

Pengguna juga perlu menyatakan sebab akaun Twitter mereka perlu mendapat status VA, tidak lebih daripada 500 patah perkataan.

Selepas borang dihantar, Twitter akan menghantar emel balas dan mungkin akan meminta beberapa pengesahan identiti tambahan seperti dokumen pengenalan diri, nombor telefon, dan sebagainya.

Jika permohonan ditolak, pengguna boleh memohon semula selepas 30 hari.