KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam masa terdekat, sebagai usaha memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan COVID-19 secara optimum.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata, kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima daripada jangkitan COVID-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

Jelas beliau, buat masa ini ubat antibodi EVUSHELD hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan untuk golongan yang belum dijangkiti COVID-19, tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

"Kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab, dan diberikan secara berturut-turut.

"Bagi pesakit immunocompromised (sistem imun yang lemah) yang telah menerima vaksin COVID-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi tersebut akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat.

Beberapa kriteri pemilihan pesakit ditetapkan iaitu berumur 12 tahun dan ke atas; mempunyai berat badan melebihi 40 kilogram (kg); serta dalam kalangan golongan immunocompromised sederhana hingga teruk.

"Ini mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi COVID-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan;

"Selain itu, individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab-sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin COVID-19," ujar beliau.

Khairy menambah, KKM sentiasa berusaha untuk mempersiap dan melengkapkan sistem kesihatan negara dengan kelengkapan serta ubat-ubatan yang selamat dan berkualiti tinggi untuk melindungi seluruh penduduk daripada dijangkit COVID-19, atau mendapat kesan jangkitan yang teruk.

Dengan adanya ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambah baik, beliau berkata KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada dalam landasan yang terbaik untuk melalui Fasa Peralihan ke Endemik dengan berkesan dan selamat. 

"KKM akan terus komited untuk mempertingkatkan akses penduduk kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia dan memastikan bilangan kematian akibat COVID-19 serta pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap yang rendah dan terkawal," kata beliau lagi.