HANGZHOU: Menjelang Perayaan Kuih Bulan yang akan diraikan hari ini (25 Sept), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut perayaan itu kepada Perdana Menteri Li Qiang dan seluruh delegasi China.
Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas layanan mesra yang diberikan sepanjang lawatan kerja beliau di Shanghai dan Hangzhou, bermula Selasa lepas.
“Walhasil, hubungan erat Malaysia dan China hari ini telah melangkaui kerangka diplomatik biasa.
“Ia menderu di atas landasan kepercayaan, keikhlasan dan keyakinan bersama sekali gus mematangkan persahabatan hakiki demi mengalirkan limpahan kemakmuran serta manfaat buat rakyat kedua-dua negara,” kata beliau dalam hantaran di media sosialnya.
Anwar, yang melakukan lawatan kerja tiga hari atas undangan Kerajaan China bagi menghadiri pertandingan kemahiran ke-48 WorldSkills Shanghai 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di Hangzhou, berlepas pulang ke tanah air semalam.
Dalam jadual program yang padat, agenda utama hari terakhir lawatan Perdana Menteri ialah mengadakan perbincangan dua hala Malaysia-China bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik dan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Seterusnya, saya dan Premier Li Qiang mengetuai rombongan delegasi masing-masing ke West Lake State Guest House di Hangzhou - sebuah daerah yang juga merupakan kampung halaman Premier Li.
“Mesyuarat dua hala Malaysia-China dan majlis jamuan rasmi berlangsung di bangunan bersejarah dengan keindahan landskap klasik Cina, dalam suasana yang cukup mesra dan akrab,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas bantuan serta kerjasama Kerajaan China dalam menyokong dan memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana di Tibet baru-baru ini, di samping menyampaikan salam takziah atas musibah tersebut.
Anwar berkata perihal perbincangan delegasi kedua-dua negara tertumpu kepada tekad bersama untuk merintis kerjasama baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi, di samping memperkukuh serta memantapkan lagi kerjasama membabitkan sektor-sektor yang telah sedia matang.
Beliau berkata perbincangan turut menyentuh pelbagai isu strategik berkepentingan bersama merangkumi pembangunan kecerdasan buatan, kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur, potensi industri semikonduktor serta kerjasama dengan Exim Bank China.
-- BERNAMA