KUALA LUMPUR : Ucapan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kenyataan Negara ketika Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dilihat baik dan berkesan kerana menyentuh segala isu mustahak dunia.

Mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kenyataan tegas dan jelas Malaysia di PBB itu mempunyai inti pati penting buat masyarakat antarabangsa dalam membina kesepakatan demi dunia yang lebih baik.

"Yang paling mustahak, apabila ucapan sulung Perdana Menteri di PBB ini nampaknya ada penerimaan daripada masyarakat yang hadir, beliau pula menyentuh soal-soal yang mustahak kepada aspirasi, kehormatan, masa hadapan dunia dan saya melihat beliau amat menyelami hal itu.

"Oleh kerana itu, beliau menyentuh semua isu-isu penting yang menjadi persoalan antarabangsa seperti isu multipolar, kerjasama, hentikan peperangan supaya semuanya boleh duduk semeja, tidak kira negara besar, kecil, sederhana, semua mempunyai kedudukan sama rata," katanya.

Tambah beliau lagi, isu-isu seperti Islamofobia dan isu di Palestin disentuh dengan baik dan jelas menerusi kenyataan Perdana Menteri.

"Isu berkenaan dicakap dengan kuat. Terdapat satu kenyataan yang paling kukuh sekali iaitu berkenaan hal di Afghanistan.

"Perkara-perkara yang disentuh adalah sensitif tetapi perlu, jadi menunjukkan pendirian Malaysia amat jelas dalam isu-isu penting bnerkenaan dalam kesaksamaan, keadilan, ehsan, ia adalah satu-satu perkara yang sesuai dengan pembawaan Malaysia Madani ini," ujarnya.

Apabila pusat kuasa dunia sudah berubah, di mana kedudukan Malaysia?

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi Politik dan Hubungan Luar Antarabangsa, Herizal Hazri pula berpendapat, reformasi berkenaan PBB tidak disentuh dalam ucapan sulung Perdana Menteri.

Jelasnya, Malaysia yang sering konsisten mengenai perkara berkenaan perlu memastikan majlis keselamatan dunia itu untuk tidak kekal dengan format sama dalam berhadapan dengan cabaran masa kini.

"Satu yang saya terkilan adalah tidak disentuh tentang reformasi PBB.

"Malaysia selalu konsisten bahawa PBB memerlukan reformasi dan saya ingat bahawa polisi kita, one country one vote, itu kita memang juara.

"Perkara itu membawa kita antara ketua dalam kalangan negara membangun dan PBB bagi saya untuk mencapai segala yang PM katakan adalah penting, saya merasakan PBB tidak mempunyai pilihan tetapi untuk melakukan reformasi seiring dengan keperluan masa kini," katanya dalam temu bual yang sama pada Jumaat.