KUALA LUMPUR: UEM Edgenta menaja sepasang kura-kura gergasi Aldabra bernama Do dan Re yang berusia lebih 100 tahun menerusi program "Saving Animals, Serving Community" anjuran syarikatnya.

Usaha bersama Zoo Negara itu adalah sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam memelihara kesejahteraan haiwan.

Selain itu, syarikat tersebut turut memperbaharui pemeliharaan seekor zirafah berusia lima tahun, Mas Kira.

Penajaan tersebut akan melindungi kesejahteraan kura-kura dan zirafah tersebut untuk 12 bulan seterusnya, termasuk pemeliharaan, bekalan makanan dan penjagaan veterinar.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Syahrunizam Samsudin berkata, melalui usaha bersama Zoo Negara, pihaknya berusaha untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, dan pembangunan komuniti.

“UEM Edgenta kekal komited untuk memberi impak yang positif dan memberi inspirasi kepada generasi yang akan datang," katanya.

Tambah Syahrunizam, ia juga selari dengan usaha Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) diusahakan syarikat tersebut.

“Di UEM Edgenta, kami percaya bahawa mengutamakan tuas, sasaran dan komitmen ESG dalam usaha kami ke arah kemampanan.

“Ia bukan sahaja penting untuk memelihara hidupan liar, tetapi juga untuk mengekalkan keharmonian ekosistem kami dan menjamin masa depan yang sejahtera untuk generasi akan datang.

“Kami sentiasa mencari inisiatif-inisiatif baharu bagi menjaga haiwan kesayangan kami sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.