MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menyelesaikan kira-kira 60 projek sakit di Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang, tegas Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jelas Timbalan Premier Sarawak itu berkata kerajaan negeri juga sentiasa terbuka untuk berbincang bersama JKR mekanisme terbaik bagi mempercepatkan proses pembinaan.

Setakat ini terdapat antara 30 ke 40 projek di negeri itu disenaraikan sebagai projek sakit dan berada dalam keadaan kritikal.

"Kontraktor penyelamat hanya boleh menguruskan sekurang-kurangnya 20 projek sakit ini, dan yang lain boleh diselamatkan melalui klausa di bawah syarat perubahan harga (VOP).

"Ini adalah harapan saya, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rakyat, maka saya yakin kita mampu untuk mencapai matlamat ini dengan meningkatkan lagi usaha yang ada,” katanya semasa berucap dalam persidangan pegawai kanan JKR di sini pada Selasa.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu yakin salah satu punca utama projek sakit berlaku adalah daripada pemilihan kontraktor yang tidak sesuai atau tiada reputasi cemerlang.

Sehubungan itu katanya, seminar seperti ini dapat memperinci dan membincangkan mekanisme yang perlu digunakan oleh JKR untuk mendapatkan kontraktor cemerlang sebelum menjalankan projek.

"Kemudian kita akan melihat semula kepada proses dan pendekatan yang telah diambil agar tujuan utama untuk menamatkan dilema projek sakit ini tercapai,” ujarnya lanjut.

Sementara itu Uggah menyeru agar JKR meneroka dan mengkaji pelbagai teknologi moden dalam pembinaan jalan dan jambatan termasuk sistem pemantauan bagi pelaksanaan yang lebih efisyen.

“Pengunaan teknologi dron antara yang perlu dipertimbangkan, selain melakukan SWOT analisis bagi meminimumkan proses membuat keputusan yang lama dan fokus kepada tindakan pelaksanaan.

“Sarawak masih lagi memerlukan lebih 7,000 kilometer (KM) jalan raya menghubungkan setiao kamlung dan penempatan daripada Lundu ke Limbang selain perlu menaik taraf lebih 4,000 KM jalan raya sedia ada,” tambahnya.