Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Ugut warga emas: Empat kanak-kanak Myanmar ditahan bantu siasatan

Polis memberitahu, kejadian itu bermula apabila mangsa menegur sekumpulan kanak-kanak bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising. - Gambar fail
Polis memberitahu, kejadian itu bermula apabila mangsa menegur sekumpulan kanak-kanak bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising. - Gambar fail

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas di Taman Sri Rambai di sini, yang kejadian itu turut tular melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kesemuanya yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar kawasan berkenaan susulan laporan polis daripada mangsa berusia 71 tahun, semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian pada 6 petang, Khamis lepas itu berlaku apabila mangsa menegur sekumpulan kanak-kanak bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising.

"Bagaimanapun, teguran itu tidak diendahkan sebelum kumpulan tersebut didakwa membaling batu dan melontarkan batang besi ke arah mangsa.

"Kedua-dua objek itu tidak terkena mangsa tetapi menyebabkan mangsa berasa takut sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan empat kanak-kanak itu, polis merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dan mereka kini direman hingga 30 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular melalui media sosial sekumpulan kanak-kanak dipercayai pelarian Myanmar bertindak membaling sesuatu ke arah seorang warga emas di Taman Seri Rambai dan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement