UiTM perlu muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Program Outreach PuTERA35@Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA SELANGOR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global dalam memperkukuh lagi keberhasilan siswazahnya selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu UiTM menjadi Universiti Usahawan TVET Global melalui latihan keusahawanan agar graduan bukan hanya mencari kerja tetapi mencipta pekerjaan.
- Beliau menegaskan keperluan memperkasa agenda TVET dan keusahawanan bagi mengurangkan pengangguran belia bumiputera yang kini mencecah 70 peratus daripada jumlah penganggur.
- Ahmad Zahid turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang penguasaan korporat apabila hanya tujuh peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dimiliki majoriti bumiputera dan mahu lebih banyak syarikat bumiputera disenaraikan.
"Inilah cabaran besar yang harus kita tangani, namun ia peluang untuk kita bangkit bersama, kita mesti mencipta kerja bukan hanya mencari kerja, kerana itu apabila saya fikirkan, untuk kita tangani masalah ini, saya mempunyai keazaman untuk memperkukuh agenda TVET dan keusahawanan secara bersama," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata demikian ketika berucap pada program Outreach PuTERA35 di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata berdasarkan kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan latihan keusahawanan, perniagaan dan juga perakaunan boleh melahirkan lebih ramai usahawan dalam negara.
"Saya yakin, dengan sokongan PuTERA35 melalui pembiayaan, inkubasi dan kerjasama industri, UiTM mampu ?muncul sebagai pusat usahawan TVET unggul di rantau ini," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata data terkini menunjukkan dalam kalangan syarikat yang ?tersenarai di Bursa Malaysia, hanya tujuh peratus sahaja dimiliki majoriti bumiputera, iaitu daripada 945 syarikat tersenarai ?setakat 2022, hanya 62 syarikat berada di bawah kawalan lebih 50 peratus milik bumiputera.
Beliau berkata dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, hanya satu syarikat bumiputera berjaya disenaraikan, berbanding 96 syarikat bukan bumiputera.
"Kita bukan cemburu dan bukan menanamkan kebencian, tetapi kita melakukan muhasabah dan kritikan kendiri sebab perkara ini berlaku, angka ini menunjukkan jurang penguasaan korporat yang masih begitu besar dan mesti ditangani segera.
"Kita mesti berjalan ke hadapan untuk menyenaraikan lebih banyak lagi syarikat bumiputera di Malaysia dan insya-Allah menjelang akhir tahun ini akan ada lagi (syarikat disenaraikan)," katanya.
Beliau berkata lebih banyak syarikat bumiputera perlu disenaraikan di pasaran terbuka agar dapat menjadi pemangkin kepada syarikat bumiputera lain untuk mengikuti langkah sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami