Skip to main content

Malaysia

UiTM terus pastikan akses pendidikan manfaat kelompok sasaran

41620025393_UiTM.jpg
UiTM memaklumkan pihaknya tidak lagi membuat pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran sejak dua tahun lepas.
Advertisement

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan mandat penubuhan berlandaskan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), termasuk memastikan akses pendidikan tinggi terus memberi manfaat kepada kelompok sasaran universiti.

Selaras dengan komitmen itu, UiTM memaklumkan pihaknya tidak lagi membuat pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran sejak dua tahun lepas.

Menurut kenyataan UiTM hari ini, pendekatan berkenaan mencerminkan keutamaan universiti dalam memperkasa bumiputera melalui ilmu, pembangunan bakat dan profesionalisme, seiring dengan keperluan semasa serta aspirasi negara.

UiTM turut menjelaskan bahawa istilah “underserved” yang digunakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dalam kenyataan media sebelum ini merujuk kepada golongan terpinggir atau komuniti yang kurang mendapat akses kepada pendidikan, termasuk mereka yang memenuhi kriteria merit tetapi masih kurang mendapat peluang yang sewajarnya.

Golongan berkenaan, khususnya meliputi bumiputera daripada kelompok B40, masyarakat Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

“UiTM akan terus berusaha memastikan pendidikan berkualiti menjadi pemangkin kepada pembangunan potensi, peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial masyarakat yang disasarkan,” menurut kenyataan itu.

UiTM memaklumkan pihaknya kekal teguh melaksanakan amanah dan mandat penubuhannya dalam menyediakan akses pendidikan serta memperkasa bumiputera melalui ilmu, pembangunan bakat dan profesionalisme.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement