PUTRAJAYA: Dokumen Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan (NTS) akan mula disiar, dan boleh dimuat turun hari ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembatu itu berkata, NTS itu akan mula berkuat kuasa pada 29 November iaitu Isnin hadapan, dan boleh dimuat naik di https://covid-19.moh.gov.my di bawah ‘Garis Panduan’.

Selain itu beliau berkata, ujian kepada pelajar sekolah rendah akan bermula pada minggu hadapan.

“Pelaksanaan National Testing Strategy (NTS) akan bermula Isnin ini, dan (dokumennya) telah dimuat naik dalam web. Dahulu kita tangguh (pelaksanaannya), tapi ia mula Isnin ini, dan NTS dengan jelas menggariskan bila, dan siapa yang perlu jalan ujian, dan ujian apa perlu dijalankan.

“Salah satu perkara daripada NTS yang ingin saya umum hari ini adalah keperluan untuk sekolah-sekolah rendah, iaitu murid-murid di bawah usia kelayakan untuk terima vaksin, perlu melaksanakan ujian mingguan sekurang-kurangnya kepada 10 peratus sampel daripada pelajar sekolah yang ada di sekolah tersebut, dan mereka buat ujian secara bergilir-gilir pada sampel yang berbeza-beza setiap minggu,” katanya lagi.

Pada 21 September lepas, Khairy dilaporkan sebagai berkata, KKM sedang menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan (National Test Strategy) bagi menentukan peralihan fasa mitigasi di satu-satu kawasan.

Jelasnya lagi, strategi tersebut juga membolehkan kementerian mengenal pasti kawasan yang rendah dalam aspek pembendungan (lack of containment).

Beliau berkata, dengan strategi itu, ia sekali gus dapat memastikan strategi yang lebih jelas dapat dilakukan bagi memastikan kadar positif COVID-19 diselaraskan di seluruh negara.