KUALA LUMPUR: Bermula 4 Oktober 2021, rakyat Malaysia tidak lagi perlu menjalani ujian saringan RT-PCR sebelum mereka dibenarkan memasuki United Kingdom (UK).

Kerajaan England melalui pengumuman rasmi di laman web rasminya berkata, rakyat dari beberapa negara yang tersenarai termasuk Malaysia sebaliknya, hanya perlu menempah dan membayar ujian saringan COVID-19 pada hari kedua ketibaan mereka di negara itu.

Selain itu, pengembara dari negara yang tersenarai juga diwajibkan untuk mengisi borang pengesanan pengembara dalam tempoh 48 jam selepas ketibaan mereka di UK.

Namun, kerajaan UK berkata, kemudahan tersebut hanya terbuka kepada mereka yang mempunyai vaksin lengkap sekurang-kurangnya 14 hari dan mestilah daripada program vaksinasi yang diluluskan di UK, Amerika Syarikat, Eropah atau program vaksinasi UK di luar negara.

Antara vaksin yang disenaraikan ialah Oxford/ AstraZeneca, Pfizer BioNTech, Moderna atau Janssen selain campuran vaksin Oxford/ AstraZenca, Pfizer BioNTech dan Moderna.

Selain itu, kemudahan tersebut turut terbuka kepada pengembara yang telah mengambil bahagian dalam ujian pra-klinikal COVID-19 di UK dan AS atau golongan bawah 18 tahun serta pemastautin di UK, Wilayah Luar Negara UK dan AS serta beberapa negara Eropah yang tersenarai.

Bagi pengembara yang hanya akan berada di UK untuk dua hari, mereka juga perlu menempah dan membayar ujian COVID-19.

Namun, bagi pengembara yang tidak melepasi syarat yang ditetapkan, mereka perlu mengambil ujian COVID-19 pada hari kedua dan kelapan selepas ketibaan di UK selain perlu menjalani kuarantin kendiri di tempat yang dinyatakan selama 10 hari.