KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memperkenalkan program sarjana dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) di bawah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) bagi melahirkan modal insan ESG serta membantu organisasi dalam menghadapi landskap kelestarian yang semakin berkembang.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata program itu akan membolehkan pengamal ESG dan golongan profesional di Malaysia serta luar negara melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah sambil berkerja.
“Antara inisiatif ini ialah Sijil Profesional ESG, yang sebelum ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan dibangunkan bersama-sama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi melengkapkan golongan profesional dengan kecekapan ESG yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Awal minggu ini, UKM bersama-sama menganjurkan Sidang Kemuncak MAPAN ESG 2026, platform peringkat kebangsaan yang menghimpunkan agensi kerajaan, pemimpin industri dan ahli akademik bagi mempercepat agenda ESG Malaysia.
Pada sidang kemuncak itu, UKM turut melancarkan platform Penasihat ESG diperkasa kecerdasan buatan (AI) bagi membantu organisasi memperkukuh strategi kelestarian menerusi penilaian ESG yang lebih menyeluruh.
Sufian berkata platform berkenaan menggabungkan piawaian ESG yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkan organisasi menjalankan penilaian ESG yang lebih menyeluruh serta memperkukuh amalan kelestarian mereka.
Beliau berkata pelancaran itu mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam membangunkan modal insan ESG, kemajuan penyelidikan serta menyediakan penyelesaian praktikal kepada organisasi dalam menghadapi landskap kelestarian yang semakin berkembang
Sufian berkata kepimpinan yang berkesan penting bagi memastikan ESG tidak sekadar dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan pematuhan, sebaliknya menjadi prinsip utama dalam membuat keputusan yang mengambil kira prestasi perniagaan, kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar serta tadbir urus yang baik.
Beliau berkata pendekatan lebih menyeluruh itu dizahirkan menerusi konsep Perniagaan dan Pelaburan Inklusif serta Bertanggungjawab (IRBI) dibangunkan oleh OECD, yang menggalakkan tadbir urus baik, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial, selain melengkapkan kerangka ESG serta tanggungjawab sosial korporat sedia ada.
-- BERNAMA