PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama strategik dengan tiga universiti di Iran menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini bagi mengukuhkan rangkaian kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

MoU berkenaan melibatkan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM dengan University of Isfahan, manakala Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM dengan D8 International University dan Islamic Azad University.

D8 atau dikenali sebagai Kumpulan Lapan Negara Membangun, merupakan organisasi bagi kerjasama pembangunan antara Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye. Bagi Kumpulan D8 antara misi paling penting bagi sebuah universiti ialah penyelidikan, inovasi, pendidikan dan aktiviti antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman berkata, fokus kerjasama IKMS adalah kepada bidang penyelidikan berkaitan Asia Barat dan keselamatan politik dalam konteks geopolitik global, manakala MoU melibatkan FAS akan memfokus kepada bidang sains bumi, alam sekitar, keselamatan siber, sekuriti makanan dan kecerdasan buatan (AI).

"Fokus utama tiga perjanjian ini termasuk pertukaran dan mobiliti pelajar, perkongsian data, penerbitan bersama, kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kerjasama itu sudah pasti akan menghasilkan siswazah dan kakitangan yang berdaya saing, melengkapkan diri mereka dengan pengalaman interaksi di peringkat global yang amat berharga, menerusi program mobiliti dan pembinaan kapasiti.

Katanya, UKM telah diamanahkan dengan tugas penting menjalankan penyelidikan komprehensif berhubung perkara berkaitan air dengan kerjasama D8 International University (Iran) yang berpangkalan di Turkiye, sekali gus menandakan langkah yang signifikan ke arah meningkatkan kefahaman kolektif UKM dan menangani isu kritikal berkaitan air pada skala global.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU berkenaan sebagai bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

Dua MoU itu telah ditandatangani pada 7 Okt, manakala perjanjian dengan D8 International University dimeterai pada 8 Okt. - BERNAMA