KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan penerima vaksin yang ke-100,000 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institusi pendidikan itu, pada Jumaat.

Ketibaan Shabirin Harun  di PPV IPT@UKM kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu disambut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Penerima vaksin berusia 57 tahun dari Kajang itu turut menerima plak 100,000 dan cenderamata yang disampaikan oleh Dr Mohd Ekhwan. 

Selain Shabirin, dua lagi penerima vaksin iaitu Nurhidayah Hasnul yang merupakan penerima vaksin ke 99,999 dan Fatin Fasihah Mohd Ilkham, penerima vaksin ke 100,001 turut diraikan.




Dr Mohd Ekhwan berkata, UKM bukan sahaja sebuah Institusi pengajian tinggi, malah sebuah universiti yang mesra komuniti melalui penglibatannya sebagai salah sebuah PPV IPT di Selangor.

“PPV IPT@UKM adalah tanda sokongan UKM kepada usaha negara untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera bagi memerangi wabak COVID-19.

“Semoga sumbangan dan peranan UKM sebagai PPV IPT@UKM terpahat di hati masyarakat yang telah menerima vaksin di sini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Mohd Ekhwan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para sukarelawan di PPV tersebut.

"Kejayaan ini dicapai melalui kerjasama sukarelawan kita yang terdiri daripada para pelajar, kakitangan universiti dan orang awam.

"Mereka adalah hero tidak didendang yang membantu pasukan perubatan demi memastikan proses vaksinasi di sini berjalan lancar," ujarnya.

IPT@UKM yang diwujudkan menerusi inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu beroperasi sejak 5 Mei lalu.