KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia dengan sistem pengurusan pembelajaran yang mantap iaitu UKM-Folio untuk ruang pembelajaran maya bagi pelaksanaan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam kenyataan pada Khamis berkata UKM secara beransur-ansur meningkatkan bilangan kursus online distance learning (ODL), micro-crendentials dan Massive Open Online Courses (MOOC) merentas disiplin.

"Pihak universiti juga akan terus menaik taraf kemudahan ruang pembelajarannya dengan transformasi digital agar sesuai dengan pelajar yang pelbagai untuk masa hadapan.

"Selain itu, UKM sudah melaksanakan pembelajaran anjal melalui Program Sains Citra di Pusat Pengajian Citra UKM iaitu program pertama yang ditawarkan di Malaysia dengan struktur kurikulum yang fleksibel dan rentas disiplin," katanya.

Beliau berkata melalui program ini, pelajar akan menjalani dua hingga tiga tahun pengajian di universiti dan satu hingga dua tahun seterusnya di industri dengan komponen berasaskan kerja atau Work-Based Learning.

Beliau berkata pembelajaran anjal dilaksanakan bagi bidang penumpuan tertentu untuk menggantikan sesi pembelajaran secara konvensional iaitu bersemuka atau praktikal.

Katanya UKM juga menawarkan 16 program pengajian yang tempoh pengajiannya adalah tiga tahun.

"Seperti yang disyorkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, UKM akan meneruskan proses mengkaji opsyen untuk memendekkan tempoh program pengajian empat tahun ke tiga tahun bagi program yang berpotensi melalui penawaran secara modular dan mod tri-mester," katanya.

Selain itu, Mohd Ekhwan berkata sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dapat memperkasakan pembelajaran fleksibel dan secara kendiri oleh pelajar di samping ramai pelajar yang lebih selesa dengan sistem ini kerana memudahkan pengurusan terutama dari segi masa dan juga kewangan.

"Sistem ini juga merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan kualiti proses pembelajaran dengan membolehkan mahasiswa menyusun aktiviti mereka secara lebih fleksibel.

"Mahasiswa juga mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas jadual kuliah melalui pelbagai mod pembelajaran dan interaksi seperti dalam talian, bersemuka atau kaedah gabungan," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengumumkan kementerian akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, iaitu pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di kampung pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

Setakat ini, sejumlah 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024.

-- BERNAMA