Skip to main content

Malaysia

Umat Islam diseru jauhi program meragukan dari sudut adab, tidak patuh syariah

PUTRAJAYA, 2 Sept -- Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini._BERNAMA
Hasan seru umat Islam agar menjauhkan diri daripada menghadiri program yang boleh menimbulkan keraguan dari sudut adab, batas pergaulan dan pematuhan syariah. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM)  menyeru umat Islam agar menjauhkan diri daripada menghadiri program yang boleh menimbulkan keraguan dari sudut adab, batas pergaulan dan pematuhan syariah. 

Yang Dipertuanya, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, YADIM mengajak masyarakat untuk menyemak semula pilihan hiburan dan mengutamakan aktiviti yang lebih selamat, mendidik dan membina jiwa.

Advertisement

“Pendekatan yang lebih wajar ialah mengalihkan tumpuan kepada program yang memberi manfaat bersama seperti pengisian komuniti, aktiviti keluarga, program belia, seni yang beretika, sukan, kebajikan dan kebudayaan yang selaras dengan nilai akhlak dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini yang dikeluarkan berkaitan penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 yang telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Hasan berkata, YADIM berpandangan isu mengenai  penganjuran program tersebut wajar ditangani dengan pendekatan yang tegas tetapi bijaksana, bukan dengan emosi yang melampau. 

“Dalam sebuah negara MADANI yang meraikan kepelbagaian, kebebasan, menganjurkan program tetap perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab memelihara sensitiviti agama, maruah dan akhlak,” katanya. 

Sementara itu, beliau menggesa pihak penganjur agar lebih peka terhadap latar masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan budaya. 

“Pada masa akan datang, YADIM menegaskan setiap penganjuran program berskala besar mesti mematuhi garis panduan yang mengambil kira sensitiviti agama, nilai moral dan norma masyarakat tempatan secara menyeluruh. 

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mengundang polemik berulang, malah berisiko menjejaskan keharmonian awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video