Umat Islam perlu bersatu mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW bagi mengelak merekaa terpesong daripada ajaran sebenar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata perjuangan Islam masa kini bukan sekadar memantapkan perpaduan, tetapi haruslah berlandaskan ajaran yang betul bagi menepis cabaran yang mampu menggoyahkan akidah umat Islam.

"Ada fahaman yang memesongkan ajaran Islam termasuk membunuh sesama umat menggunakan nama memperjuangkan Islam," katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Semporna di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Daerah Semporna, Musa Saabani dan bekas guru, Noriah Sahak masing-masing menerima anugerah Maulidur Rasul manakala Abdullah Abdul Wahid, seorang guru, menerima anugerah khas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata beliau menyokong cadangan Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah untuk menubuhkan sebuah Kompleks Islam di sini.

Tapak tanah untuk membina kompleks yang bakal menambah tarikan pelancong itu akan dikenal pasti untuk dimasukkan dalam kertas cadangan sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan.