UMAT ISLAM dalam negara kita perlu menghormati fatwa yang telah dikeluarkan lebih 20 tahun yang lalu berkaitan dengan pengharaman untuk menghisap rokok. Ini adalah kerana keputusan fatwa yang telah dibuat berdasarkan prinsip–prinsip yang telah ditetapkan dalam agama Islam sendiri berkaitan dengan isu kepentingan untuk menjaga kesihatan, peringatan untuk tidak membazir wang, serta amaran untuk tidak menjebakkan diri ke dalam sebarang perkara yang bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri malah kepada diri orang lain.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke - 37 yang bersidang Kali Ke - 37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.

Pengharaman rokok terbabit telah dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghidu bau asap rokok berkenaan, serta sikap merokok itu sendiri yang menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan perokok yang menggunanya. Merokok juga membawa kerosakan alam sekitar melalui pencemaran akibat daripada asap rokok yang dihasilkan serta proses pembuangan putung–putung rokok yang merata–rata di atas jalan. Rokok juga berisiko tinggi untuk mencetuskan kebakaran sekiranya putung–putung rokok yang digunakan tidak dipadam sepenuhnya dan dicampak dengan sesukahati di tempat yang mudah terbakar.

Berdasarkan pelbagai kajian yang telah dilakukan, wanita dan kanak - kanak antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit bahaya kesan daripada pencemaran asap rokok daripada perokok tegar sekitar mereka. Bayi dan kanak - kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit yang merbahaya seperti lelah, jangkitan paru - paru dan bagi wanita yang mengandung juga pula boleh melemahkan kandungan.

Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh semua umat Islam dalam negara kita. Pengharaman rokok ini juga selaras dengan perintah Allah SWT di dalam kitab suci Al – Qur’an seperti firman Allah SWT di dalam Surah al - Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah al – A’raf: 157 yang bermaksud “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan beri bantuan zakat kepada golongan perokok

ARTIKEL BERKAITAN: Bentuk pasukan penguat kuasa khas atasi perokok degil

Pada awal bulan Mac 2018 yang lalu pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat merokok atau menghidu asap rokok. Menurut pihak WHO, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat. Pihak WHO juga menyatakan bahawa, kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru - paru adalah pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok.

Sejak abad ke-20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang Dunia Pertama (1914 – 1918).

Sekiranya tiada sebarang tindakan keras dan berani yang diambil oleh mana - mana pihak dalam negara kita bagi menghentikan masalah berkaitan dengan rokok ini, amat sukar untuk kerajaan membendung jumlah penagih rokok dalam masyarakat kita khususnya dikalangan generasi muda. Kempen beterusan mengenai isu pengharaman rokok ini perlu dipergiatkan pada setiap masa khususnya dalam kalangan umat Islam dalam negara kita kerana sudah ada ketetapan yang jelas mengenai pengunaan rokok itu sendiri seperti yang telah diputuskan melalui fatwa.

Pihak – pihak yang berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam, serta kerajaan–kerajaan negeri perlu memberi kerjasama bagi memastikan kesihatan masyarakat Islam dalam negara kita sentiasa terjaga dan dilindungi. Sebarang bentuk pencanggah pendapat mengenai isu rokok ini perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul mengenai isu berkenaan.

Isu pengharaman rokok juga perlu dibawa berbincang di dalam Pertubuhan Negara–Negara Islam (OIC) bagi mewujudkan satu penyelarasan di peringkat antarabangsa di kalangan negara – negara Islam seluruh dunia bagi memastikan kesihatan seluruh umat Islam di serata dunia dapat dijaga dan dilindungi dengan baik.



* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI