UMNO waktu ini masih wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengakui bahawa UMNO berada dalam keadaan yang lemah dan susut pengaruhnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendakwa UMNO secara hakikatnya mempunyai lebih ramai anggota, pengundi serta lebih banyak kerusi.

"Kecuali beberapa anggota Parlimen UMNO yang meninggalkan parti, tidak berlaku gerakan besar-besaran meninggalkan UMNO. Perhimpunan Agung UMNO yang lepas telah mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia.

"Walaupun diakui ada beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah kita menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO. Mereka adalah ahli biasa, yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan apa jua kesalahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lepas bahawa UMNO sudah tiada lagi dan perjuangan UMNO kini adalah untuk mengekalkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pencuri terbesar.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan moderator program bicara minda, Tan Sri Johan Jaaffar adakah beliau masih menyayangi bekas partinya iaitu UMNO.

Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau dan rakan-rakan dalam UMNO akan memulihkan semula parti dan diislahkan.

Islah bermaksud usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai.

-- BERNAMA