Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada rakyat dan ahli UMNO sama ada menerima keputusannya untuk kembali menerajui UMNO atau sebaliknya.

Menurutnya, keputusan yang dibuat untuk kembali daripada bercuti merupakan keputusan peribadi memandangkan pertuduhan mahkamah yang dikenakan ke atasnya bersifat peribadi.

"Biarpun saya dikenakan banyak pertuduhan di mahkamah, saya akan menghadapinya seorang diri kerana itu adalah tuduhan yang dikenakan secara peribadi kepada saya.

"Saya tidak akan pernah melibatkan UMNO sebagai sebuah organisasi politik apatah lagi kepada kepimpinan dan ahli-ahli UMNO. Maka saya merasakan jangan libatkan UMNO dalam kes saya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada majlis tersebut mengumumkan kembali bertugas sebagai Presiden UMNO selepas mengambil keputusan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 Disember lalu.

BACA: Mohamad sambut baik Zahid kembali bertugas

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu semua pimpinan bersama-sama mengembalikan semula roh UMNO setelah menerima pandangan pelbagai pihak di beberapa di beberapa bahagian termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika bercuti.

"Saya bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan kepimpinan UMNO sedia ada untuk terus bersama-sama dan saya juga meminta kepada mereka yang tidak berada di dalam arus perdana kepimpinan UMNO untuk bersama-sama dengan saya.

"Kita ketepikan jika terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat. Yang penting ialah UMNO itu sebagai sebuah organisasi politik untuk menebus kekalahan di dalam PRU14 yang lalu," katanya.

Katanya, beliau akan menyumbang untuk memperkukuhkan perpaduan dan kepimpinan di dalam UMNO.