KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk mengumumkan sebarang keputusan atau dasar kerajaan di mana-mana forum yang dihadiri beliau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, ini termasuk pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 baru-baru ini.

Perdana Menteri ketika itu mengumumkan  pelaksanaan kadar gaji minimum berjumlah RM1,500 yang  akan dilaksanakan bermula Mei ini.

"Mengenai hal-hal berkaitan pengumuman di PAU, Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk mengumumkan apa sahaja pengumuman di mana-mana forum yang beliau rasa sesuai.

",,, dan mestinya beliau juga telah mengumumkan banyak perkara mengenai peralihan ini ketika beliau membuat sidang media, (dan) ketika mengumumkan fasa tersebut (peralihan fasa endemik)," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.


Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang bertanya apakah cadangan yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) masih diterima pakai oleh kerajaan.

Ia selepas Lim mendakwa bahawa cadangan MPN untuk membuka sempadan negara pada 1 Mac hanya dilaksanakan oleh kerajaan pada 1 April, selain pengumuman perubahan dasar dalam ekonomi dibuat oleh Perdana Menteri dalam persidangan parti politik.

"Adakah cadangan atau syor-syor MPN diterima oleh pihak kerajaan? dan sekiranya tidak, lebih baik MPN dibubarkan sama sekali. Ini kerana kita lihat dalam PAU, perubahan dasar dalam ekonomi diumumkan oleh Perdana Menteri dalam persidangan parti poltik dan bukanlah berdasarkan apa-apa syor yang dibuat oleh MPN... Ini menunjukkan MPN tidak berfungsi dan berkesan lagi," kata Lim.

Gaji Minimum | Kerajaan setuju gaji minimum RM1,500 bermula Mei ini


Mengulas lanjut, Mastura  berkata keputusan membuka sempadan negara dan peralihan fasa endemik bermula 1 April ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk usaha untuk merancakkan semula ekonomi khususnya industri pelancongan.

Selain itu, katanya pertimbangan dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi negara yang tinggi dan ancaman varian Omicron yang dilihat tidak memberi kesan yang teruk kepada individu yang lengkap vaksinasi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika pembukaan sempadan negara kelak tidak akan menyusahkan pengembara yang masuk ke dalam negara, dan rakyat Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke negara-negara lain.