KUALA LUMPUR: Perkembangan undang-undang dan dasar persaingan di Malaysia sedang menuju ke arah yang betul, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail Said.

Beliau berkata pihaknya berbesar hati menyaksikan semua pengawal selia sektor berganding bahu menyediakan platform untuk undang-undang persaingan dalam dasar perindustrian masing-masing, yang sudah pasti akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Oleh itu, MyCC menghargai komitmen semua pengawal selia sektor untuk bekerjasama ke arah landskap ekonomi yang kompetitif demi kepentingan perniagaan dan pengguna di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MyCC pada Khamis.

Menurut MyCC, Jawatankuasa Khas Persaingan, sebuah inisiatif oleh pihaknya, telah mengadakan mesyuarat pertama pascapandemik pada 20 September 2022 dengan dipengerusikan oleh Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Jawatankuasa ini berfungsi sebagai satu platform bagi pengawal selia sektor utama di Malaysia untuk membincangkan perkembangan berkaitan persaingan dan merangka keutamaan masa hadapan untuk memperkukuh peruntukan persaingan dalam perundangan sektor masing-masing demi manfaat pasaran, jelas suruhanjaya itu.

Ia terdiri daripada MyCC, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menurut MyCC, dengan mengambil kira undang-undang penggabungan yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat, MAVCOM turut berkongsi dua keputusan penggabungan baru-baru ini iaitu kes pertama meibatkan penggabungan yang telah diluluskan antara Korean Air Lines Co Ltd (Korean Air Lines) dan Asiana Airlines Inc (Asiana Airlines) yang juga merupakan transaksi pertama penggabungan berkaitan persaingan di Malaysia.

Pada Julai 2022, MAVCOM juga telah mengeluarkan keputusan cadangannya mengenai jangkaan penggabungan antara SIA Engineering Company Limited dan Pos Aviation Engineering Services Sdn Bhd yang melibatkan perkhidmatan pengendalian darat.

Bagi sektor telekomunikasi, SKMM memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan notis tiada bantahan berikutan penilaian menyeluruh terhadap cadangan permohonan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi, dengan kedua-dua pihak kini telah bergerak ke fasa seterusnya bagi janji niaga yang dicadangkan.

"SKMM memaklumkan tentang hasil positif daripada usaha bersama MyCC sejak 2020, dalam menangani perjanjian eksklusif antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau syarikat pengurusan bangunan di bangunan-bangunan tinggi termasuk kompleks kediaman berikutan aduan yang diterima oleh orang ramai.

"Kedua-dua pihak berhasrat untuk meneruskan kerjasama tersebut dengan cadangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta orang ramai, jelas MyCC.

Menurut MyCC, ST pula berkongsi mengenai tiga keutamaannya dalam memastikan keselamatan tenaga, ekuiti tenaga dan kemampanan alam sekitar.

"Oleh itu, ST telah memulakan kajian semula terhadap undang-undang di bawah bidang kuasanya. Ini bagi memastikan semua perundangannya masih relevan pada masa hadapan dan bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang dan dasar persaingan, seterusnya akan meningkatkan daya saing pemain industri yang sejajar dengan aspirasi negara," tambah MyCC.

-- BERNAMA