KUALA LUMPUR: Institute for Research and Development of Policy (IRDP) memandang serius kenyataan dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Negara (YDPN), Tan Sri Rais Yatim bahawa Undi 18 tidak akan dilaksanakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pengerusi IRDP, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, kenyataan itu amat mengecewakan rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang menantikan penglibatan mereka secara langsung dalam proses pilihan raya.

"Kenyataan yang datang daripada YPDN sendiri, iaitu antara institusi paling utama dalam sistem demokrasi negara ini amat mengecewakan tatkala rakyat Malaysia khususnya orang muda menanti-nantikan penglibatan mereka secara langsung dalam proses pilihan raya.

"Melalui pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dengan lebih dua pertiga majoriti iaitu dengan undian sebanyak 211 Ahli Dewan Rakyat.

"Seterusnya diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dengan sokongan lebih dua pertiga majoriti iaitu 47 daripada 68 Ahli Dewan Negara," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Malah tegas Mohamad Ariff, kenyataan Rais itu kelihatan janggal apabila Undi 18 telah melalui proses penggubalan undang-undang secara sempurna di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong yang mana telah diwartakan pada 4 September 2019.

"Pendirian YPDN tersebut mencerminkan komitmen rapuh kerajaan Perikatan Nasional dalam memastikan amalan demokrasi negara kita terus kukuh.

"Ianya juga seolah-olah menafikan undian Ahli-ahli Yang Berhormat dan Senator yang telah mengambil bahagian dalam sistem demokrasi berparlimen ini," katanya lagi.

Tambahnya, kegagalan pihak kerajaan melaksanakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu akan menafikan hak 1.8 juta orang golongan muda berumur 18-20 tahun pada tahun 2021 untuk mengundi pada PRU-15.

"Ketidaksungguhan kerajaan hari ini dalam merealisasikan agenda ini sekaligus mematikan semangat anak muda.

"Hal ini juga jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada November tahun lalu yang menjanjikan pelaksanaan usia mengundi 18 tahun selewat-lewatnya pada Julai tahun ini," tegasnya lagi.

Justeru, IRDP mengesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjunjung prinsip Keluhuran Perlembagaan dan mengambil langkah segera untuk melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun seperti termaktub dalam Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Yang Di-Pertua Dewan Negara itu pada 11 Mac lalu antara lain berkata pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi 18 walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Dalam kenyataannya itu, Rais berkata negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu memandangkan proses mendapatkan senarai pengundi memakan masa lama.

Bagaimanapun kenyataannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin parti politik.