KUALA LUMPUR: UNICEF Malaysia telah melancarkan bantuan segera untuk mengumpul dana bagi membantu India memerangi penularan COVID-19 yang semakin teruk di negara itu ketika ini.

Menurut wakil UNICEF di Malaysia dan Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar, hospital dan pusat kesihatan di India memerlukan lebih banyak penumpu oksigen, alat ujian pantas dan penjagaan kesihatan kritikal.

Katanya, ini kerana jumlah kes yang banyak memerlukan alat bantuan pernafasan tersebut dan ia bertambah parah apabila bantuan oksigen tidak mecukupi untuk semua pesakit.

“Sistem kesihatan di India sangat parah kerana gelombang terbaru COVID-19 di negara tersebut.

"Kami tidak boleh membiarkan India memerangi ini sendirian. Kita mesti bertindak segera untuk mengelakkan kehilangan nyawa.

"UNICEF telah menyediakan bekalan oksigen dan peralatan kecemasan lain yang sangat diperlukan untuk tindakan segera, tetapi lebih banyak lagi diperlukan kerana wabak itu terus merebak dengan cepat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

UNICEF telah menghantar bekalan perubatan termasuk 3,000 penumpu oksigen, untuk membantu India dalam usahanya berdepan gelombang COVID-19.

Bersama dengan penumpu oksigen, UNICEF turut membekalkan 85 mesin RT-PCR (ujian COVID) dan beberapa alat bantuan lain.

Selain itu, UNICEF menyokong perolehan dan pemasangan 25 loji oksigen dan pemasangan lebih daripada 70 termal pengimbas di pelbagai pelabuhan masuk di seluruh negara.

UNICEF juga telah membantu kerajaan India dalam memastikan perkhidmatan kritikal untuk kanak-kanak yang paling rentan.

Sebanyak RM86 juta diperlukan bagi UNICEF untuk penghantaran segera bekalan kritikal termasuk produk oksigen dan alat ujian pantas di India, serta lebih daripada RM205 juta untuk intervensi COVID-19 yang menyelamatkan nyawa di seluruh sektor.

Bagi yang ingin turut bersama UNICEF menyediakan dana bantuan kepada India boleh menghubungi talian 1300 300 010 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank 5143 2960 2449 atas nama United Nations Children's Fund-Emergency.