Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menubuhkan Pusat Tenaga Nasional (National Energy Centre -NEC), sebuah pusat kecemerlangan nasional bertaraf antarabangsa bagi mendalami aspek Peralihan Tenaga, merangkumi isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan sumber tenaga boleh baharu (TBB) di peringkat negara dan global.

Universiti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menempatkan lima (5) pusat kecemerlangan tenaganya di bawah NEC, bagi melaksanakan pelbagai penyelidikan dan projek berkaitan tenaga, dengan kerjasama pakar dari universiti tersohor tempatan dan luar negara serta para peneraju industri, dengan aspirasi menjadikan Malaysia Hab Tenaga Serantau.

Pelancaran awal NEC di UNITEN Putrajaya hari ini disempurnakan bersama oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Biju dan rakan sejawatannya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim. Mereka mewakili Menteri masing-masing, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Majlis ini dihadiri Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk. Ir. Baharin Din; Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan lebih 200 pegawai tinggi kerajaan, duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi, pakar, ahli akademik, profesional, penyelidik dan pemain industri tenaga tempatan serta antarabangsa.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Takiyuddin berkata, penubuhan NEC di UNITEN adalah usaha proaktif institusi pengajian tinggi untuk menyumbang kepakaran dalam agenda pembangunan negara termasuk dalam usaha peningkatan kapasiti TBB dan menangani pelepasan karbon.

“Penubuhan NEC juga cukup signifikan kerana ia mengemblengkan usaha pelbagai pemegang taruh untuk sama-sama mendalami serta mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tenaga yang sedang dihadapi seluruh dunia. Saya yakin sekiranya NEC ini ditadbir uruskan dengan baik, ia berupaya menghasilkan penyelesaian terhadap isu nasional dan sejagat berkaitan tenaga yang sedang membelenggu kita,” katanya.

Sesungguhnya NEC bakal memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadikan negara neutral karbon seawal 2050 dan memenuhi aspirasi pelepasan karbon sifar bersih dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 (TNB Sustainability Pathway – SP2050).

Lima pusat kecemerlangan yang akan diletakkan dibawah satu bumbung NEC adalah Institut Tenaga Lestari (ISE), Institut Kejuruteraan Kuasa (IPE), Institut Infrastruktur Tenaga (IEI), Institut Dasar & Penyelidikan Tenaga (IEPRe) dan Institut Informatik & Pengkomputeran dalam Tenaga (IICE).

NEC akan membentuk Kerangka Strategik Nasional bagi Tenaga (Strategic National Energy Framework) dengan sasaran Malaysia sebagai hab tenaga dan para pemain industri berpeluang menjadi rakan strategik dengan membuka cawangan atau makmal inkubator satelit di pusat tenaga itu.

Kajian-kajian ini dijangka memberi manfaat masa depan lebih selamat, lebih mesra alam dan sederap dengan perkembangan ekonomi digital rendah karbon, sejajar mengubah sektor tenaga global daripada berasaskan bahan api fosil kepada karbon sifar menjelang separuh kedua abad ini.

Antara yang bakal diterokai secara mendalam ialah penggunaan hidrogen, kuasa suria berasaskan angkasa, kuasa magma, kuasa tenaga alga, kuasa solar terbenam, kuasa angin dan kuasa lakuran (fusion) bagi tenaga boleh baharu serta pembangunan ekosistem teknologi Kenderaan Elektrik (EV).

Sambil menyifatkan penubuhan NEC tepat pada masanya tatkala dunia berdepan dengan isu peningkatan kos penjanaan elektrik ekoran peningkatan kos bahan api, Takiyuddin melontarkan cabaran kepada para penyelidik di NEC agar mengkaji opsyen dan langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan mampu bayar.

Sementara itu, Dr Adham dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya mencadangkan NEC supaya bekerjasama dalam penyelidikan di peringkat peralihan tenaga serantau, khususnya ASEAN, China dan negara-negara Eropah serta organisasi antarabangsa.

“NEC juga boleh mewujudkan forum peringkat tinggi di antara para akademia tersohor, pakar industri dan pegawai tinggi kerajaan dengan ahli-ahli negara ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi membincangkan secara mendalam isu-isu kritikal dalam bidang tenaga,” katanya.