MADINAH: Universiti Islam Madinah menawarkan jumlah biasiswa tanpa had kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata universiti itu turut menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia di dalam pelbagai bidang termasuk perubatan dan kejuruteraan.

Beliau berkata tawaran itu adalah hasil dari pertemuannya dengan presiden universiti itu, Putera Mamdouh bin Saud bin Thunayan Al Saud bersempena lawatan kerjanya ke Arab Saudi.

"Kami ditawarkan untuk hantar pelajar bukan semata-mata dalam bidang agama dan syariah, tetapi dalam bidang kejuruteraan sains dan lain-lain.

"Insya-Allah saya ambil maklum perkara ini dan akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk hantar pelajar terbaik kita mendalami pelbagai ilmu di Kota Suci Munawwarah," katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan kunjungan di universiti itu di sini Selasa.

Antara kelebihan biasiswa itu ialah setiap pelajar akan diberikan kemudahan seperti elaun bulanan, perumahan, insurans perubatan dan tiket penerbangan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata tawaran itu mencerminkan hubungan erat di antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam pelbagai peringkat termasuk pendidikan.

Beliau yang merupakan alumni universiti itu berkata selain itu, Univerisiti Islam Madinah juga berhasrat untuk mengadakan program pertukaran pelajar bersama universiti tempatan di Malaysia.

"Universiti ini telah melalui banyak fasa perubahan sehingga mampu meletakkannya di dalam kelompok terbaik dunia. Ketika ini, universiti ini bukan sahaja menawarkan buku-buku yang terkini, malah sistem pendidikan yang maju mengikut peredaran teknologi terkini," katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 200 pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pendidikan tinggi itu.

-- BERNAMA